Sejarah Kampung

SEJARAH RINGKAS ASAL-USUL KAMPUNG

Setiap kampung mempunyai sejarah dan ristaan yang tersendiri. Begitu juga halnya dengan Kampung Belais dan Buda-Buda. Berikut adalah sejarah ringkas atau ristaan bagi setiap kampung:

Kampung Buda-Buda

Kampung Buda-Buda mempunyai sejarah ringkas asal usulnya. Kata nama Buda-Buda setelah diselidiki melalui kamus Melayu tidak ada dicatatkan. Buda-Buda jika dikaitkan dengan nama agama Budha juga tidak relevan kerana tidak ada sejarah yang mengatakan perkembangan agama tersebut di kampung ini dan di kampung-kampung persekitarannya. Warisan peninggalan tentang patung Budha dan unsur-unsur yang berkaitan dengan agama tersebut tidak dijumpai di kampung ini.

Ahli Jawatankuasa telah menemubual beberapa orang penutur etnik yang terdapat di Daerah Temburong. Maklumat yang diperolehi ialah kata ‘Buda’ dalam Bahasa Murut membawa erti putih. Jika kata Buda-Buda dijamakkan ia membawa erti putih-putih. Jika benar kata Buda terdapat di dalam Bahasa Murut maka yang perlu diketahui ialah apakah kaitan Puak Murut dengan Kampung Buda-Buda. Jika dilihat dari segi kependudukan, tidak ada seorang pun yang berbangsa Murut. Kajian yang lebih ilmiah perlu dilakukan terutama tentang adanya hubungan bangsa Murut dengan Kampung Buda-Buda. Oleh kerana tidak ada bahan dokumentasi yang dapat dijadikan rujukan maka timbullah andaian-andaian yang cuba dikaitkan dengan hubungan tersebut. Di antara andaian tersebut ialah:

a) Bangsa Murut mungkin juga pernah wujud di kampung tersebut seperti yang terjadi di kampung-kampung lain di daerah ini seperti Kampung Batang Tuau, Kampung Menengah dan lain-lain. Mereka mempunyai kulit yang putih (cerah) seperti yang dilihat sekarang (putih-putih – dalam sebutan lokal). Orang Buda-Buda yang ada sekarang tidaklah putih semuanya. Warna kulit adalah bervariasi dan puratanya kuning langsat.

b) Bila dikaitkan dengan keadaan perisian tanah di Bukit Buda-Buda, ia mempunyai pasir putih dan juga batu putih. Dalam Bahasa Murut batu putih disebut bada buda. Kemungkinan juga kaitan tersebut ada kebenarannya.

Haji JakutAhli Jawatankuasa cuba mendapatkan maklumat daripada warga yang paling tua di Kampung Buda-Buda iaitu Haji Jakut bin Jamaludin yang berumur 93 tahun pada tahun 2006 (kini sudah meninggal). Pada tahun 1934, beliau berhijrah ke Kampung Bakuak (sekarang dalam wilayah Limbang, Sarawak Malaysia) kerana berkahwin dengan Allahyarhamah isteri beliau. Penduduk Kampung Bakuak adalah yang mula-mula membuka Kampung Buda-Buda setelah penduduk kampung tersebut berhijrah ke seberang Sungai Pendaruan di sebelah wilayah Brunei. Kampung Buda-Buda yang berpenghuni pada ketika itu belum wujud lagi.

Menurut beliau, ketika itu Kampung Bakuak hanya mempunyai tujuh ketua keluarga yang terdiri daripada Haji Adol, Haji Mundim, Liau Liman, Tahamat, Haji Lamat dan Tubu. Pada tahun 1966 perpindahan beramai-ramai ke Kampung Buda-Buda telah berlaku kerana status Kampung Bakuak adalah di bawah kekuasaan Malaysia. Mereka berhijrah kerana mahu kekal dengan Kerajaan Brunei.

Beliau mengakui bahawa menurut ristaan orang tua-tua, mereka mengatakan bahawa Bangsa Murut pernah wujud di persekitaran kampung. Waris-waris bangsa tersebut juga dipercayai terdapat di kalangan warga kampung. Malangnya dakwaan yang membuktikan waris Bangsa Murut sukar diperolehi kerana tidak ada catatan susur galur kekeluargaan yang terdapat di kampung tersebut. Bukti adanya kehadiran Bangsa Murut di kampung berkenaan ialah adanya pulau buah-buahan milik mereka berdekatan dengan kampung tersebut.

Beliau menambah lagi, didakwa juga nama Kampung Belais dan Kampung Buda-Buda ada Presentation2kaitan dengan batu yang terdapat di Bukit Kampung Buda-Buda. Orang Murut menurut beliau menyebut masih buda (muda dalam bahasa baku – fonem m disebut b). Maksudnya batu yang terdapat di bukit tersebut masih muda. Secara pemerhatian berdasarkan kepada fizikal batu-batu yang ada di sana sememangnya masih muda. Mungkin juga kaitan batu tersebut yang masih muda dengan nama Buda-Buda ada kebenarannya.

Variasi cerita tentang asal usul nama Kampung Buda-Buda tidak dinafikan namun demikian yang pasti nama tersebut tetap dikaitkan dengan Bahasa Murut.

Kampung Belais

Kampung Belais terbahagi kepada dua kampung. Iaitu Kampung Belais Kecil dan Kampung Belais Besar. Cerita tentang kata Belais tidak dapat diperolehi secara tepat dan pasti. Rujukan kepada kamus dan penutur-penutur etnik lain yang mempunyai kedekatan kata dengan nama Belais tidak diperolehi dan kurang membantu.

Suatu hal yang menarik ialah kata Belais ialah nama sejenis ikan yang terdapat di air masin. Penulis cuba mengaitkan ikan belais dengan Kampung Belais. Alhamdulillah, salah seorang penduduk jati kampung iaitu yang mulia Haji Mohd Salleh bin Bongsu dapat mengongsikan kaitan nama ikan tersebut dengan nama kampung ini. Menurut beliau, merujuk kepada orang-orang kampung yang terdahulu aktiviti perniagaan yang menggunakan sistem bertukar barang (barter system) di antara orang Bandar (Orang Barunai yang tinggal di Kampung Ayer) dengan orang darat terjadi. Orang Barunai terkenal dengan jualan ikan air masin dan lain-lain keperluan dengan beras kampung, asam kering (kulit asam ‘aur-aur’ istilah lokal yang dikeringkan) dan sayur-sayuran seperti kucai dan lain-lain lagi. Barang-Barang tersebut dijadikan bahan pertukaran dan ada juga jual beli yang sebenar. Salah satu jenis ikan yang dipertukarkan ialah ikan belais. Kononnya, oleh permintaan terhadap ikan tersebut tinggi dan kerap maka kawasan atau tempat pertukaran yang dilakukan bagi orang Barunai mereka namakan tempat tersebut Belais yang akhirnya dinamakan Kampung Belais.

Apa yang mengagumkan ialah orang-orang Barunai berkayuh dengan istilah cara ‘berawat’ (berdayung menggunakan dua pendayung secara membelakang depan perahu) dari Kampung Ayer ke Kampung Belais yang agak jauh jaraknya Di antara penjual dan pembeli ada bahasa tersendiri. Bahasa perniagaan yang digunakan ialah ‘pengalu’ (yang datang berjual) dan ‘mengalu’ (yang menunggu untuk membeli). Asal usul Kampung Belais pernah dijadikan bahan penulisan cerita bagi bahan bacaan kanak-kanak oleh Sabariah Haji Mohamad yang diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (1997). Kononnya, Kampung Belais adalah dari nama ikan belais. Dua ekor ikan belais yang terdiri dari ibu dan anak melarikan diri ke Temburong dengan menyusuri sungai tersebut kerana di buru oleh seekor ikan besar. Mereka merasa aman berada di tempat persembunyian yang akhirnya mereka menetap dan membiak. Oleh kerana bilangannya banyak maka kampung tersebut dinamakan Kampung Belais.

Kajian yang lebih ilmiah perlu dilakukan untuk memastikan sejarah pembukaan dan penamaan Kampung Belais. Kedua-dua keterangan di atas belum dapat diterima kesahihan kebenarannya. Menurut Haji Jakut (informer terdahulu) yang lahir pada 1914 di Kampung Belais sebelum berhijrah ke Kampung Bakuak pada 1934 seingat beliau nama Kampung Belais sudah wujud sebelum tahun 30-an. Beliau sendiri tidak pasti akan pemberian nama kampung tersebut. Kampung Belais terbahagi kepada dua buah kampung iaitu Kampung Belais Kecil dan Kampung Belais Besar. Sedikit keterangan tentang kampung-kampung berkenaan:

a) Kampung Belais Kecil

Tidak banyak yang diketahui tentang cerita mengenai asal usul kampung ini. Generasi tua yang dapat dijadikan bahan rujukan cerita sudah tidak ada. Walaupun demikian, cerita yang pernah dikutip ialah Kampung Belais Kecil asalnya dinamakan Kampung Belais Jaga. Nama tersebut masih popular disebut di kalangan warga kampung. Jaga kononya adalah nama salah seorang warga kampung yang pernah menghuni di kampung ini. Asal keturunan Jaga ini tidak diketahui. Nisan tanda perkuburan beliau juga dipercayai terletak betul-betul di tengah jalanraya di depan Masjid Kampung Belais telah dipindahkan ke tempat persekitaran kubur di kawasan yang sama sekitar tahun 1966 sewaktu jalanraya dibesarkan. Walaupun demikian sewaktu penggalian dijalankan tidak ada tanda-tanda yang menunjukkan kewujudan peninggalan kerangka manusia dan alat-alat yang turut terkubur bersama. Sumbangan besar beliau terhadap kampung juga tidak diketahui.

b) Kampung Belais Besar

Kampung Belais Besar pada asalnya terbahagi dua iaitu Kampung Belais Pulau dan Kampung Belais Sungai Binjai. Kedua-dua nama tersebut memang sinonim dengan keadaan tempat kampung tersebut. Kampung Belais Pulau berhubung rapat dengan keadaan kampung yang mempunyai kelompok buah-buahan yang dipanggil pulau buah. Manakala Belais Sungai Binjai pula berkaitan dengan sepohon Binjai yang besar pokoknya terdapat di tempat tersebut. Binjai tersebut sudah tiada. Perubahaan nama-nama asli kampung terjadi apabila pemetaan kampung dijalankan.

Advertisements