
Alhamdulillah, syukur ke hadrat Allah Subahanahu Wata’ala kerana dengan limpah kurnianya jua, Kampung Belais dan Buda-Buda seperti juga di kampung-kampung di Daerah Temburong yang lain dan kampung-kampung di Negara Brunei Darussalam secara umumnya telah menikmati kemudahan-kemudahan yang diberikan oleh Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam.
Kesejahteraan dan keharmonian penduduk Kampung Belais dan Buda-Buda telah dapat dikekalkan melalui kerjasama diantara Ketua Kampung dengan penduduk-penduduk kampung. Kerjasama dan kesepakatan ini telah diperkukuhkan lagi dengan terwujudnya kesatuan yang kuat iaitu Majlis Perundingan Kampung Belais dan Buda-Buda.
Majlis Perundingan Kampung Belais dan Buda-Buda merupakan salah satu media yang menyatupadukan kesepakatan bagi memperolehi sesuatu yang difikirkan perlu ada bagi menambah lagi sesuatu yang sudah ada untuk dinikmati oleh semua warga kampung. Banyak manfaat dan perkembangan telah pun diperolehi dan dilaksanakan dengan kewujudan Majlis Perundingan-Perundingan Kampung ini.
Bagi mengukuhkan dan memotivasikan lagi semangat solidariti kampung, Majlis Perundingan Kampung Belais dan Buda-Buda telah juga memilih satu tema khas bagi kampung Belais dan Buda-Buda iaitu yang berbunyi ‘CERIA DIRIKU, BAHAGIA KELUARGA, MAJU KAMPUNGKU’. Huraian ringkas tema ini ialah individu penduduk kampung merupakan elemen yang terkecil. Sekiranya mereka bahagia, sihat dan cergas serta bebas dari gejala-gejala anti sosial, ini akan menceriakan dan membahagiakan keluarganya. Keluarga akan hidup dalam rukun damai, hormat menghormati diantara satu dengan yang lain dan akan saling bekerjasama di antara keluarga. Apablia setiap keluarga kampung saling bekerjasama dan hormat menghormati maka dengan mudah akan bersatupadu dalam memajukan kampung kerana ‘mind set’ mereka sentiasa dalam keadaan yang positif yakni tidak ada buruk sangka malah sentiasa berfikiran terbuka. Keadaan demikian akan mendorong pemimpin dan perancang aktiviti kampung lebih mudah melaksanakan aktiviti-aktiviti yang dirancang.
Untuk akhirnya, Ahli-Jawatankuasa Majlis Perundingan Kampung Belais dan Buda-Buda ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada Pemangku Pegawai Daerah dan Penolong Pegawai Daerah Temburong diatas segala teguran, nasihat, bimbingan, tunjuk ajar dan bantuan-bantuan yang diberikan yang begitu banyak yang telah membantu kami bergerak dan menyahut cabaran bagi membangun kampung kerana projek-projek yang dilaksanakan adalah bermula dari sifar (nol) kepada satu realiti yang tidak terduga sama sekali. Semua ini adalah berkat kerjasama yang padu daripada penduduk kampung sesuai dengan pepatah Melayu iaitu ‘Ringan Sama Dijinjing Berat Sama Dipikul’.
Sekian, Wassalam.
Salam Hormat
AWANG HAJI AHMAD BIN MD HUSAIN Ketua Kampung Belais dan Buda-Buda


