Majlis Perundingan Kampung
Majlis Perundingan Kampung Belais dan Buda-Buda telah merancang dan mengungkayahkan beberapa aktiviti perekonomian yang boleh menjana pendapatan sampingan dan tetap kepada sebilangan warga kampung. Di antara projek perekonomian yang diungkayahkan ialah:
Projek Eko-Pelancongan
Tiga projek utama yang telah dimasukkan ke dalam peraduan Anugerah Kampung Cemerlang 2006-2007 iaitu Taman Warisan, Pondok Memancing Dan Riadah dan Merentas Banjaran Bukit Luba telah membuahkan hasil pendapatan. Walaupun tidak begitu besar pulangannya kerana pengunaan yang bermusim namun dengan adanya ketiga-tiga projek tersebut telah member peluang kepada warga kampong terutama pemilik-pemilik pondok memancing dan jurupandu untuk memperoleh pendapatan sampingan. Di samping itu juga pendapatan yang diperoleh 20% daripadanya dimasukkan ke dalam tabung MPK Belais dan Buda-Buda. Warga kampong yang mengusahakan hidangan makanan (catering) juga memperoleh manfaat kerana ada di antara pengunjung terutama yang berkumpulan meminta pakej lawatan termasuk makanan.
Projek Ternakan Ayam Pedaging
Memandangkan bekalan ayam pedaging yang ada di daerah Temburong belum mencukupi dan daging ayam merupakan makanan yang disukai ramai maka Majlis Perundingan Kampung Belais dan Buda-Buda memilih perusahaan ternakan tersebut untuk dijadikan projek ekonomi kampong. Memandangkan kos untuk mengusahakannya tinggi terutama pembinaan reban dan bahan-bahan lain yang berkaitan maka saham-saham telah dibukakan iaitu satu saham sebanyak $500.00. Bagi yang kurang berkemampuan maka kelonggaran diberikan iaitu dengan membuat pembayaran secara ansuran.

Tapak bagi melaksanakan perusahaan telah diperolehi iaitu di kawasan Kemajuan Pertanian Luar Bandar (KPLB) Kampung Belais seluas lebih kurang 5 ekar. Kerja-kerja meratakan tanah bagi tapak reban telah dilakukan. Reban yang akan dibina adalah berperingkat-peringkat mengikut modal yang terkumpul. Bentuk reban ialah biasa semi terbuka. Selain daripada reban, bangunan turut dibina ialah stor, pondok penjaga, pejabat dan tempat penyembelihan.
Kumpulan / Individu Kampung
Kampung Belais dan Buda-Buda mempunyai warga yang aktif melibatkan diri dalam kegiatan perekonomian. Kegiatan yang dilibatkan adalah seperti berikut:
Kumpulan – Kampung Belais dan Buda-Buda mempunyai sebuah kedai koperasi yang dinamakan Kedai Koperasi Kampung Belais dan Buda-Buda. Ditubuhkan pada tahun 1978 dan mempunyai ahli seramai 286 orang. Barangan yang dijual merupakan komoditi harian. Koperasi juga digunakan bagi warga kampong untuk memasarkan hasil mereka seperti produk pertanian dan kraftangan.
Individu – Pelbagai aktiviti ekonomi yang diceburi oleh warga kampung. Diantaranya ialah:
- Menyewa bangku di Tamu Muhibbah Pekan Bangar
Seramai tiga orang warga kampong yang terlibat dalam kegiatan ini. Hasil jualan merupakan produk pertanian dan lain-lain.
- Kerajinan tangan atau kraftangan

Beberapa individu kampong yang terlibat dalam aktiviti ini. Di antara kerja-kerja yang dihasilkan ialah penghasilan produk berasaskan kayu dan pembuatan manik.
- Kedai Jahit
Dua syarikat milik warga kampong terlibat dalam perusahaan ini.
- Katering
Sebuah syarikat katering milik warga kampung terdapat di kampung ini, iaitu Syarikat Berkat Jaya. Tempahan-tempahan diterima dari dalam dan luar kampung.
- Pertanian
Sebilangan besar warga kampung terlibat dalam aktiviti ini. Terdapat sebuah ladang kelompok di kampung ini iaitu Pertanian Kelompok Luar Bandar di Kampung Belais dan mempunyai ahli seramai 14 orang. Mereka mengusahakan tanaman pokok buah-buahan seperti limau manis dan pokok buah-buahan tempatan yang bermusim.
Ladang-ladang di Tanah Tumpang Sementara (TOL) juga dimiliki oleh warga kampung. Tanaman-tanaman yang diusahakan ialah sayur kucai dan pokok buah-buahan tempatan yang bermusim
- Menghasilkan Wajid Temburong dan Kuih Pinyaram
Tiga warga kampung giat dalam mengusahakan produk ini.


