SEJARAH RINGKAS ANUGERAH KAMPUNG CEMERLANG
Anugerah Kampung Cemerlang (AKC) diasaskan atau diperkenalkan melalui cetusan ilham oleh Yang Mulia Matusin bin Orang Kaya Sura Haji Tuba, Penolong Pegawai Daerah Temburong pada tahun 2005. Tidak dinafikan setelah memegang jawatan penting di Pejabat Daerah Temburong, beliau berusaha keras untuk memajukan Daerah Temburong. Penghulu-penghulu mukim dan ketua-ketua kampung yang merupakan pemimpin masyarakat diaktifkan peranan masing-masing. Salah satu parameter untuk menilai kemampuan mereka dalam memimpin masyarakat dan memajukan kampung ialah melalui peraduan AKC.
Bagi memantapkan lagi program yang diperkenalkan, Penolong Pegawai Daerah telah berinisiatif membuat rombongan lawatan yang terdiri daripada pegawai-pegawai Jabatan Daerah Temburong, penghulu-penghulu dan ketua-ketua kampung ke sebuah kampung di Sabah iaitu Desa Bayangan pada 25 hingga 26 November 2005. Tujuan lawatan berkenaan ialah untuk memerhati, mempelajari dan melihat sendiri bagaimana kampung berkenaan terpilih sebagai kampung cemerlang di Malaysia. Melalui lawatan tersebut sekurang-kurangnya dapat membuka minda penghulu-penghulu dan ketua-ketua kampung cara untuk memajukan mukim dan kampung masing-masing. Beberapa sesi taklimat berhubung dengan peraduan AKC juga telah diberikan oleh beliau kepada penghulu-penghulu dan ketua-ketua kampung dan penghebahan pertama dilakukan pada bulan April 2005.
Kandungan taklimat pertama tersebut telah dikongsikan oleh ketua kampung (Kampung Belais dan Buda-Buda) kepada ahli-ahli jawatankuasa Majlis Perundingan Kampung dalam mesyuarat yang diadakan pada 30 April 2005. Tindakan susulan untuk menyahut bagi mengikuti peraduan tersebut agak hambar. Ahli jawatankuasa juga masih tidak pasti akan projek-projek yang akan diikutsertakan.
Pada 13 Januari 2006 (Hari Jumaat) MPK Belais dan Buda- Buda telah mengadakan mesyuarat dan salah satu agendanya ialah membincangkan peraduan AKC. Pada mesyuarat tersebut AJK telah mengenalpasti enam projek yang akan diikutsertakan dalam peraduan AKC, iaitu program kemasyarakatan, tanaman buah-buahan, ternakan binatang, pembuatan kraftangan, memancing di sungai dan laluan hutan ‘jungle tracking’. Pemilihan projek-projek berkenaan adalah berdasarkan kepada kegiatan-kegiatan kampung yang sudah ada dan kegiatan-kegiatan yang difikirkan mampu dilakukan oleh penduduk kampung.
PENYERTAAN DALAM PROJEK AKC 2005 – 2007
Alhamdulillah setelah berusaha bersungguh-sungguh menyahut seruan Yang Mulia Penolong Pegawai Daerah, Awang Matusin bin OKS Haji Tuba, untuk bangkit memajukan kampung maka tenaga dan keringat yang dibanting selama ini membuahkan hasil. Kampung Belais dan Buda-Buda telah dinobatkan sebagai johan Projek AKC 2005-2007. Persaingan sihat dari beberapa buah kampung yang lain menjadi pendorong da penggalak bagi kedua-kedua kampung ini untuk bergerak maju dan berusaha untuk mendapatkan kedudukan di dalam pertandingan Projek AKC 2005-2007.
Pada 20 Rabiulawal 1428 bersamaan 8 April 2007, Kampung Belais dan Buda-Buda telah dianugerahkan sebagai Johan Projek AKC bagi sesi 2006-2007. Penganugerahan dilaksanakan oleh Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Johan Pahlawan Dato Seri Setia Awang Haji Adanan bin Begawan Pehin Siraja Khatib Awang Haji Mohd Yusof.
Penganugerahan ini secara langsung menjadikan kampung Belais dan Buda-Buda dikenali dan ia juga telah membantu mempromosikan kampung ini bukan sahaja destinasi ‘makan angin’ dan memancing malah dijadikan tempat atau kawasan untuk menjalankan beberapa aktiviti sama ada oleh agensi-agensi kerajaan atau swasta.
PENYERTAAN DALAM PROJEK AKC 2008 – 2009
Walaupun telah dinobatkan Johan dalam Projek AKC yang lepas namun itu tidak menjadikan Kampung Belais dan Buda-Buda lalai dan lupa daratan, malah lebih bersemangat untuk menyertai Projek AKC untuk sesi yang berikutnya kerana menyedari dan mengetahui akan adanya peningkatan penyertaan dari kampung-kampung lain dan pastinya persaingan juga akan tentu lebih hebat. Sebelum diedarkan borang penyertaan secara rasmi Kampung Belais dan Buda-Buda juga dengan cara yang belum rasmi telah merancang dan merangka projek-projek yanga akan dimuatkan dalam penyertaan Projek AKC dalam sesi yang berikutnya. Berbagai-bagai perancangan diutarakan dan akan ditapis untuk dipilih mengikut persetujuan majority melalui mesyuarat dan muzakarah.
Selain mengutamakan ‘Satu Produk Satu Kampung’ sebagai sukat-sukat penting dalam Projek AKC sesi 2008 – 2009, kampung ini telah merancang untuk menambah bilangan taman atau kawasan rekreasi yang terdapat di kampung ini. Setelah menyedari kawasan-kawasan rekreasi yang telah diikutsertakan di dalam Projek AKC yang sebelumnya mendapat perhatian umum maka tergerak hati penduduk kampung untuk meneroka khazanah alam yang indah di dalam Kampung Belais dan Buda-Buda bukan sahaja untuk dinikmati oleh penduduk-penduduk di kedua-kedua kampung ini malah untuk dikongsikan keindahannya dengan orang luar. Format rekreasi yang dimaksudkan ialah mini wasai dan merentas hutan. Walaupun mini wasai ini belum dibukakan secara rasmi tetapi beberapa rombongan telah memilih untuk mengalami ekspedisi menyeronokkan ini.
Kampung Belais dan Buda-Buda telah secara rasminya menyertai Projek AKC sesi 2008-2009 setelah Ketua Kampung Haji Ahmad bin Hussain menyerahkan boring yang telah lengkap disikan kepada Pengerusi Projek AKC 2008-2009 Yang Mulia Pemangku Pegawai Daerah Temburong, Awang Matusin bin OKS Haji Tuba.
Di antara perancangan yang telah dibuat ialah memfokuskan ‘Satu Kampung Satu Produk’ yangmana telah dipersetujui ternakan ayam sebagai produk kampung yang utama. Namun demikian perusahaan-perusahaan kecil sama ada secara persendirian atau berkumpulan akan diteruskan penghasilannya.


