
Tahniah kepada Majlis Perundingan Kampung Belais dan Buda-Buda kerana telah berjaya memenangi Pingat Gangsa Anugerah Kampung Cemerlang (AKC) Peringkat Kebangsaan 2009 yang telah dikurniakan sendiri oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di Pertuan Negara Brunei Darussalam pada 13 Februari 2009 di Dewan Plenary, Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas. Majlis Perundingan Kampung Belais dan Buda-Buda menerima wang tunai BND10,000, bantuan grant BND30,000 bagi Projek Pembangunan dan Kesejahteraan, plak, piala dan sijil penyertaan.
Semasa Majlis Penyampaian anugerah tersebut, Awang Haji Ahmad bin Md. Hussain, Ketua Kampung Belais dan Buda-Buda telah menerima anugerah tersebut beserta empat orang Ahli Majlis Perundingan Kampung dan juga Ahli Jawatankuasa Projek AKC iaitu Yusuf bin Haji Mohammad (Setiausaha MPK), Hajah Dayang Norti binti Haji Abas (Bendahari MPK), Haji Junaidi bin Haji Abas (AJK Projek AKC) dan Siti Hawa binti Haji Kamis (AJK Projek AKC).
Dengan kemenangan ini diharapkan ianya akan menjadi satu penggalak bagi Majlis Perundingan ini untuk terus lebih maju kehadapan dengan projek-projek dan aktiviti-aktiviti yang dapat membantu meningkatkan pembangunan kampung, kesejahteraan dan perekonomian penduduk-penduduk kampung.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam juga berkenaan berangkat ke Teratak Temburong di kawasan Pameran AKC di mana MPK Belais dan Buda-Buda juga turut serta di dalam pameran tersebut.
Pada hari tersebut juga, AJK MPK Belais dan Buda-Buda telah membawa anugerah yang dimenangi pulang ke kampung yang telah disambut dengan meriahnya oleh penduduk kampung dan juga Pegawai Daerah Temburong sendiri.


Doa kesyukuran sempena kemenangan tersebut telah dibacakan oleh Ketua Kampung Belais dan Buda-Buda
